Pages

About Me

My photo
"Back To Nature" is the theme adopted for this school's environmental awareness program. This community strives to inculcate the love of nature among the youth in this school through hands on experience in nature. We aim to show the young generation that nature is not only for the viewing pleasure, it can also provide and protect us, thus, we need to protect and sustain it for the future.

Tuesday, 15 April 2014

Program Khidmat Masyarakat Kelab Keceriaan Dan Skuad Kembara Hijau SMK Majakir 2014:
AKTIVITI MELUKIS MURAL DI TABIKA PERPADUAN DAERAH PAPAR

         Pada tahun ini Jawatankuasa Serasi dan Lestari Sekolah telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat yang melibatkan ahli-ahli Skuad Kembara Hijau serta Kelab Keceriaan sekolah. Program ini merupakan medium yang baik untuk membentuk generasi pelajar yang menghargai, prihatin dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan alam sekitar. Program yang berteraskan pendidikan luar ini juga memberi peluang kepada semua ahli yang terlibat untuk berkongsi ilmu serta kemahiran sedia ada dengan masyarakat luar. 

        Oleh itu adalah menjadi harapan pihak penganjur agar ahli-ahli yang terlibat akan dapat meningkatkan imej diri dan sekolah di mata masyarakat. dari segi perkembangan diri pelajar, penglibatan dalam program ini membolehkan pelajar merasakan dirinya sebahagian daripada anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Dengan ini pelajar akan dapat membina imej diri yang positif, memupuk semangat kesepunyaan dan rasa bangga kerana telah memberi sumbangan kepada sekolah dan masyarakat.

      Untuk merealisasikan hasrat ini, Jawatankuasa Serasi dan Lestari Sekolah telah mengadakan satu siri aktiviti melukis mural di beberapa buah Tabika Perpaduan dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan (JPTP). Sebanyak 3 buah tabika telah terlibat iaitu ; Tabika Perpaduan Taman Perumahan Pengalat Besar, Tabika Perpaduan Kampung Benoni dan Tabika Perpaduan Taman Pantai Lok Kawi. Bagi memastikan penglibatan secara total semua ahli Kelab Keceriaan dan Skuad Kembara Hijau, pelajar telah dibahagikan kepada 3 kumpulan.

TABIKA PERPADUAN TAMAN PENGALAT, PAPAR
19 - 23 MAC 2014








TABIKA PERPADUAN KG. BENONI, PAPAR
27 - 31 MAC 2014






TABIKA PERPADUAN TAMAN PANTAI LOKKAWI, PAPAR
2 - 4 APRIL 2014







LAPORAN:   ROHIAH BENGKUI
GAMBAR:     HAJIJAH HASAN

Saturday, 29 March 2014


LAWATAN SAMBIL BELAJAR(LASBELA) JAWATANKUASA SERASI & LESTARI BERSAMA KELAB KECERIAAN DAN SKUAD KEMBARA HIJAU SMK MAJAKIR PAPAR KE PAMERAN SUSTAINABLE ENVIRONMENT AND ECOSYSTEM DEVELOPMENT(SEED) TAHUN 2014

Aktiviti LASBELA ini telah diadakan pada 15 Mac 2014 yang lalu. Aktiviti ini telah diselaraskan oleh Jawatankuasa Serasi Dan Lestari Sekolah dengan kerjasama Kelab Keceriaan dan Skuad Kembara Hijau SMK Majakir. Pameran Sustainable Environment & Ecosystem Development (SEED) ini telah diadakan di Sutera Harbour Resort Kota Kinabalu. Seramai 23 orang pelajar telah terlibat bersama dengan 3 orang guru pengiring.  Antara objektif lawatan ini adalah seperti berikut :-
  • Meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar di dalam dan di luar persekitaran sekolah.
  • Memupuk sikap positif dan cintakan alam sekitar dalam kalangan peserta.
  • Memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan dengan pendidikan alam sekitar pada skala yang lebih besar.
  • Para peserta lawatan akan bertindak sebagai agen penyebar maklumat mengenai keperluan dan kepentingan penjagaan alam sekitar kepada pelajar lain di sekolah.
Semasa berada di tapak pameran, para peserta berpeluang melawat ke beberapa kiosk pameran yang disediakan oleh pihak penganjur. Antaranya adalah Kiosk Kolej Yayasan Sabah (KYS), Kiosk Kulinari Dan Pastri, Kiosk Universiti College Sabah Foundation, Kiosk Asian Tourism International College (ATI), Kiosk Seni Lukis, Kiosk Jualan Kraf Tangan dan Kiosk NRJ Solar.

Kiosk pameran yang memberi maklumat mengenai penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif yang mesra alam.

Pameran pengkhususan seni dari Kolej Yayasan Sabah

Pelajar berminat untuk mengetahui peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Asian Tourism International College (ATI).




Monday, 24 June 2013

Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Peringkat Kebangsaan : SMK Majakir Meraih 2 Anugerah

Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) merupakan program anjuran Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan dengan kerjasama teknikal dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini telah dilancarkan pada 27 Januari 2005.
         Program SLAAS berkonsepkan pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua lapisan warga sekolah bersama masyarakat setempat, kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan yang menitikberatkan pendekatan bersepadu dalam 4 komponen utama iaitu ; pengurusan, penghijauan, kurikulum dan kokurikulum.
              Penganugerahan diberi kepada 2 kategori iaitu ; sekolah rendah dan sekolah menengah. Pada tahun 2012, SMK Majakir telah terpilih untuk mewakili negeri Sabah bagi kategori sekolah menengah ke peringkat Kebangsaan. Sehubungan dengan itu pihak sekolah telah dilawati oleh Panel Penilai SLAAS Peringkat Kebangsaan pada 07 November 2012. Panel Penilai ini telah diketuai oleh YBhg. Dato’ Mohamed Razali Bin Dato’ Mohamed Yusoff dan diiringi oleh Dr. Kalithasan a/l Kailasam, En. Mohd Shafiee Bin Abd Ghani dan Pn. Nurul Safaniza Binti Che Ani.


Tahniah kepada semua warga sekolah yang telah berusaha, bekerja keras serta sama-sama menyumbang idea dan tenaga ke arah kelestarian sekolah.

Laporan & Gambar: Hajijah Hasan

Saturday, 18 May 2013

Gotong Royong Menceriakan Tadika Perpaduan Kg. Benoni Papar

Pada 10 Mac yang lalu, Kelab Keceriaan dan Skuad Kembara Hijau SMK Majakir telah mengadakan lawatan ke Tadika Perpaduan Kg. Benoni. Rombongan terdiri daripada 11 orang pelajar dan 2 orang guru pengiring iaitu Pn. Hajijah Hasan dan Pn. Normahani Jamaludin. Pn. Normahani merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan Kg. Benoni dan aktiviti ini merupakan cadangan beliau sebagai aktiviti untuk kedua-dua pihak.


Ketibaan rombongan sekolah telah disambut mesra oleh Pn. Saripah Ag. Jaludin, Dg. Maimunah Pg. Idop dan En. Arun Anang, Pegawai Perpaduan Daerah Papar.

Objektif lawatan ini adalah untuk membantu pihak Tadika Perpaduan menceriakan semula bilik darjah serta kawasan sekitar.

Sebelum ...










Selepas ...




Terima kasih, ahli-ahli Kelab Keceriaan dan Skuad Kembara Hijau Majakir!!



Foto: Mahani

Saturday, 9 March 2013

LAWATAN NOSTALGIA MR GORDON THOMPSON

 Pada 20 Februari 2013 yang lalu pihak sekolah telah menerima lawatan tak rasmi daripada seorang guru yang pernah menabur bakti mengajar di SMK Majakir sekitar tahun 1970-1972. Beliau yang dimaksudkan ialah Encik Gordon Thompson warga negara Kanada yang suatu ketika dahulu pernah mengajar mata pelajaran Kimia Tingkatan 4 dan 5, Biologi dan Sains Kesihatan kepada para pelajar SMK Majakir yang dahulunya dikenali sebagai SMK Papar. Kehadiran beliau ditemani oleh isteri, Pn. Lilian yang berasal dari Kampung Surati Papar.


         Beberapa orang guru secara sukarela telah membantu dan mengiringi beliau melawat persekitaran sekolah. Walaupun telah meninggalkan SMK Majakir selama lebih kurang 40 tahun namun memori ketika beliau bertugas sebagai guru sukarelawan dari Kanada masih segar dalam ingatan.
Terpesona melihat koleksi lukisan serta bahan-bahan berkaitan dengan penjagaan alam sekitar



En. Gordon Thompson mengisi buku pelawat di Bilik Gerakan SERASI SMK Majakir



En. Gordon dan isteri melawat taman yang terletak dengan kantin sekolah yang dahulunya merupakan sebahagian daripada bilik istirehat guru. Beliau turut memuji usaha-usaha yang telah diambil oleh pihak sekolah untuk mengindahkan kawasan persekitaran sekolah dengan taman-taman yang menghijau.

En. Gordon dan isteri sempat meluangkan masa bersama-sama dengan pelajar Kelas 1 KRK


Laporan: Rohiah Bengkui
Gambar: Fareed Abdullah

Tuesday, 6 November 2012

IMPIAN JADI KENYATAAN : SMK MAJAKIR WIRA HARAPAN SERASI 2012

        Pada 13 Oktober yang lalu telah diadakan Majlis Penyampaian Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) kali ke-7 bertempat di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. Tahun ini merupakan tahun ketiga penyertaan SMK Majakir di dalam kategori Wira Harapan SERASI.




       Program SERASI merupakan anjuran bersama Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar Persekutuan, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, Pusat Tindakan Alam Sekitar (EAC), Sabah Wetlands Conservation Society dan SHELL Malaysia.

       Antara objektif program SERASI ini diadakan adalah seperti berikut :
  
      (1) Untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam
             sekitar di sekolah.

      (2) Untuk memupuk sikap positif dan cintakan alam sekitar dalam kalangan warga sekolah
            khasnya dan masyarakat setempat amya.

      (3) Untuk menggalakkan inovasi ke arah membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan
            pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

      (4) Untuk mengiktiraf usaha berterusan sekolah dalam program Pendidikan Alam Sekitar.


       Pada tahun ini, sebanyak 10 anugerah telah disediakan oleh pihak penganjur; 7 anugerah untuk pelbagai kategori iaitu ;
  • Anugerah Tandas Bersih dan Ceria Terbaik (Peringkat Sekolah Rendah / Menengah Luar Bandar dan Bandar)
  • Anugerah Inovasi Alam Sekitar Terbaik (Peringkat Sekolah Rendah / Menengah)
  • Anugerah Kebersihan Dan Keindahan Persekitaran Sekolah Terbaik (Peringkat Sekolah Rendah / Menengah)
  • Anugerah Penghijauan Sekolah Terbaik (Peringkat Sekolah Rendah / Menengah)
  • Anugerah Kesedaran Alam Sekitar Terbaik (Peringkat Sekolah Rendah / Menengah)
  • Anugerah Pengurusan Alam Sekitar Terbaik (Peringkat Sekolah Rendah / Menengah).
      Sebanyak 3 anugerah utama iaitu ;  
  • Anugerah Utama SERASI, Anugerah Wira Harapan SERASI dan  
  • Anugerah Wira SERASI bagi Peringkat Sekolah Rendah / Menengah turut dipertaruhkan.  
Di antara Ahli Jawatankusa SERASI SMK Majakir
Lawatan Yang Berhormat Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah ke gerai pameran SERASI sekolah.

Adik Nazirah Jimmy sedang memberi penerangan mengenai ramuan utama yang diperlukan untuk membuat                   bahan asas Baja Kompos Takakura kepada YB Datuk Masidi Manjun dan rombongan.

Cikgu Bernie Gevais bersama pelajar yang akan membuat demonstrasi membuat bahan asas Baja Kompos Takakura.

En. Wong Foo, seorang bekas guru sedang berkongsi maklumat mengenai kelebihan menggunakan baja kompos.
     Pada tahun sebanyak 14 buah sekolah menengah telah terpilih ke peringkat akhir penilaian untuk kategori Anugerah Wira Harapan SERASI selepas melalui 3 peringkat penilaian awal.

     Untuk rekod, penyertaan SMK Majakir di dalam Anugerah SERASI ini bermula pada sesi 2007/2008 dibawah mantan Pengetua Cemerlang, En. Loh Kok Cheang. Pada sesi tersebut SMK Majakir telah berjaya mendapat Anugerah Pengurusan Alam Sekitar Terbaik. Usaha ke arah merealisasikan impian sekolah untuk mencipta kejayaan di tahap tertinggi diteruskan oleh Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain pada sesi 2009/2010 dan 2010/2011. Walaupun tidak berjaya dalam 2 sesi tersebut namun pengalaman, kesabaran, kesungguhan dan kecekalan semua pihak yang terlibat dengan program SERASI sekolah akhirnya berjaya merealisasikan impian tersebut pada tahun ini.


Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain menerima trofi, sijil dan replika cek daripada Datuk Micheal Emban,Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah.

Barisan Pentadbir sekolah dari kiri : En. Sapri Marup (PK Kokurikulum), Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain (Pengetua Cemerlang), En. Kassim Wiro (PK Pentadbiran Dan Akademik) dan En. Durahman Ramlee (PK Hal Ehwal Murid Sekolah) bersama trofi, sijil dan replika cek
Pasukan SERASI SMK Majakir dan SMK Tebobon mengabadikan kenangan bersama. Tahniah kepada Pasukan SERASI SMK Tebobon yang berjaya mendapat Anugerah Wira Utama SERASI

En. Henry Kenneth Lawrence, Penyelia Unit Kokurikulum, Pejabat Pelajaran Daerah Papar turut gembira dengan pencapaian SMK Majakir.
Foto & Laporan: Fareed Abdullah

PENDIDIKAN LUAR UNIT KOKURIKULUM SMK MAJAKIR 2012


Pada 21 April yang lalu Unit Kokurikulum SMK Majakir telah mengadakan lawatan dan tinjauan ke beberapa lokasi terpilih di daerah Papar. Lawatan ini melibatkan sekurang-kurangnya 2 wakil daripada setiap Unit Pakaian Seragam yang terdapat di SMK Majakir. Objektif utama lawatan adalah untuk memberi pendedahan kepada ahli rombongan mengenai situasi sebenar permasalahan yang berkaitan dengan pencemaran alam sekitar yang terdapat di lokasi yang telah ditetapkan. Antara lokasi tersebut ialah kawasan Pantai Manis di kampung Kuala, Papar, kawasan pelupusan sampah yang terletak di kampung Langkawit, kawasan kuari batu kampung Benoni dan Sungai Papar.

Ahli rombongan sedang mendengar taklimat yang telah disampaikan oleh En. Sapri Marup, Penolong Kanan Kokurikulum sebelum mereka bertolak pada pagi tersebut.
Para pelajar telah dibahagikan kepada 3 kumpulan yang setiap satunya dikendalikan oleh seorang guru pembimbing.
Orang ramai membuang sampah merata tempat sehingga mencacatkan pemandangan kawasan sekitar Pantai Manis.
 Setiap kumpulan pelajar ditugaskan untuk mencatatkan pemerhatian mereka di dalam buku catatan untuk tujuan pelaporan kelak. Para pelajar juga dikehendaki untuk membuat renungan dan refleksi kendiri mengenai kesan dari aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab di setiap lokasi yang mereka kunjungi. Para pelajar telah mengadakan sedikit kerja amal iaitu memunggut sampah yang terbiar di kawasan tepi jalan sebelum mereka bergerak ke lokasi seterusnya iaitu kawasan pelupusan sampah yang terletak di kampung Langkawit.

Longgokan sampah di kawasan pelupulasan sampah kampung Langkawit.
Pemandangan serta situasi yang dapat dilihat di kawasan pelupusan sampah ini seharusnya dapat menginsafkan semua ahli rombongan agar tidak sewenang-wenangnya membuang sampah.
Para pelajar turut berpeluang untuk melihat kawasan sekitar yang berdebu dan panas berdekatan dengan kuari batu.
Sungai Papar merupakan lokasi terakhir lawatan kali ini.
Pada 21 April yang lalu Unit Kokurikulum SMK Majakir telah mengadakan lawatan dan tinjauan ke beberapa lokasi terpilih di daerah Papar. Lawatan ini melibatkan sekurang-kurangnya 2 wakil daripada setiap Unit Pakaian Seragam yang terdapat di SMK Majakir. Objektif utama lawatan adalah untuk memberi pendedahan kepada ahli rombongan mengenai situasi sebenar permasalahan yang berkaitan dengan pencemaran alam sekitar yang terdapat di lokasi yang telah ditetapkan. Antara lokasi tersebut ialah kawasan Pantai Manis di kampung Kuala, Papar, kawasan pelupusan sampah yang terletak di kampung Langkawit, kawasan kuari batu kampung Benoni dan Sungai Papar.

Foto & Laporan: Fareed Abdullah